Isnin, 9 Januari 2012

Robot boleh cari barang hilang

Pelajar diploma juara keseluruhan pertandingan EMYIS 2011 anjuran UniMAP
KUALA PERLIS: Mencari barangan hilang amat menyulitkan, lebih-lebih lagi jika saiznya kecil. Kini masalah itu boleh diatasi dengan mudah dengan syarat barangan hilang itu diperbuat daripada logam terutama besi.
Percaya atau tidak, itu yang dibuktikan Low Tian Chuan, pelajar tahun dua Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui produk dihasilkannya dikenali ‘Lost Metal Detector Robot’.
Berkat kreativiti serta keunikan ditonjolkan Tian Chuan menerusi produk itu bukan saja dipilih menerima pingat emas, malah turut dinobat juara keseluruhan pertandingan EYReC-Minds Young Inventor Show (EMYIS 2011) anjuran UniMAP.
Tian Chuan ketika ditemui mengakui kejayaan berganda dicapai ‘Lost Metal Detector Robot’ sebagai suatu di luar dugaan, walaupun menyedari potensi dimiliki produk itu.
“Memang saya akui produk ini unik. Malah saya sendiri menyimpan impian untuk meraih sekurang-kurangnya pingat emas dalam EMYIS 2011 ini melaluinya.
“Saya terkejut kerana ia bukan saja dinobat menerima pingat emas, tetapi turut diumum sebagai juara. Jadi, ini satu hadiah paling bermakna buat saya,” katanya yang menerima sijil penghargaan daripada Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (MINDS) serta wang tunai RM500.
Mengulas mengenai ‘Lost Metal Detector Robot’, Tian Chuan berkata, ia sejenis robot yang direka khusus untuk mencari peralatan logam bersaiz kecil seperti jarum, skru, paku dan duit syiling.
Katanya, produk itu akan bergerak atas lantai dengan selamat tanpa melanggar sebarang halangan seperti dinding, almari dan sebarang bentuk halangan lain memandangkan saiznya yang kecil.
“Pergerakan robot ini menggunakan teknologi infra merah. Sebaik objek yang ingin dicari berjaya dikesan, lampu LED akan menyala dan ia juga akan mengeluarkan bunyi sebagai makluman,” katanya.
Difahamkan, ‘Lost Metal Detector Robot’ hasilan Tian Chuan diselia Pensyarah PPK Mekatronik, Wan Shahrizal Wan Nadhari, mengungguli pertandingan terbabit apabila mengatasi 47 produk hasil penyelidikan pelajar Diploma UniMAP dalam EMYIS 2011 yang berlangsung pada 1 dan 2 Oktober lalu.
Daripada semua produk dipertandingkan, 40 berjaya meraih pingat, manakala baki tujuh lagi disahkan gagal menepati piawaian ditetapkan.
Dalam pertandingan itu, PPK Mikroelektronik muncul juara keseluruhan menerusi pungutan tiga pingat emas, tiga perak dan empat gangsa, diikuti PPK Bahan di tempat kedua dengan pungutan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof Zul Azhar Zahid Jamal.

www.bharian.com.my
Blogged.my