Seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia di sini mengalami kecederaan parah selepas dia ditembak beberapa kali oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali ketika sedang keluar dari rumahnya di Tanjung Minyak di sini pada Jumaat.
Pegawai berusia 52 tahun itu mengalami kecederaan di bahu kiri dan tangan, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, pegawai penyiasat tersebut sedang bersiap-siap untuk keluar rumah apabila sekumpulan lelaki menghampirinya dan melepaskan tembakan beberapa das.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye mengesahkan kejadian itu sambil menegaskan berdasar laporan para saksi, empat lelaki dilihat berada di hadapan kediaman mangsa sebelum kedengaran beberapa das tembakan.
Beliau juga berkata, sebagai tindak balas mempertahankan dirinya, mangsa turut melepaskan beberapa das tembakan menggunakan revolvernya. ”Keadaan mangsa kini stabil dan kita sedang meneruskan siasatan,” ujarnya lagi.
Sumber : malaysiasensasi.net