Isnin, 14 November 2011

Rakyat M'sia paling gemuk di kalangan negara Asean

Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara Asean dari segi paling ramai rakyatnya memiliki obesiti dan tempat keenam di kalangan negara Asia Pasifik, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata perkara ini perlu diberi perhatian semua pihak.

"Kita serius diancam dengan pengambilan gula berlebihan yang menyebabkan pelbagai penyakit termasuklah diabetes," katanya semasa menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Dr Tan ingin tahu tahap penggunaan gula berlebihan di Malaysia berbanding negara lain dan tindakan yang diambil kepada sesiapa yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Rosnah berkata kadar pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia adalah terlalu tinggi iaitu purata 51 gram, melebihi saranan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 50 gram.

Katanya sebanyak 1,266 sampel makanan telah dianalisis pada tahun 2009 untuk bahan pemanis di mana 7.3 peratus atau 92 sampel didapati melanggar standard yang ditetapkan.

"Manakala pada tahun 2010 sebanyak 2,004 sampel makanan telah dianalisis di mana 5.4 peratus bersamaan dengan 108 sampel didapati melanggar standard ditetapkan," katanya.
Mengenai tindakan, beliau berkata selain tindakan mahkamah yang diambil terhadap pihak industri, kerajaan juga mengeluarkan amaran kepada seluruh negara untuk memaklumkan produk yang melanggar Peraturan-peraturan Makanan 1985 yang tidak dibenarkan.



"Tindakan pihak kementerian adalah dengan melaksanakan pengambilan sampel dari semasa ke semasa untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah terdiri daripada makanan yang selamat dimakan," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Blogged.my